Tuesday, June 15, 2010

Bagaimana makanan boleh jadi 'racun'?

Muntah, cirit birit yang kadangkala berdarah dan sakit perut adalah tanda-tanda keracunan makanan


Pengambilan makanan yang dicemari bakteria kadang kala dianggap remeh. Bagaimanapun, seseorang boleh berhadapan penyakit yang boleh mengundang pelbagai komplikasi dan juga maut kerana sikap itu.



Baik sekiranya kita, terutama mereka yang terbabit dalam pengendalian makanan, memahami beberapa perkara berkaitan keracunan makanan ini.


Mengapa keracunan makanan berlaku:


1. Akibat pengambilan makanan yang dicemari bakteria atau virus.


Organisma halus itu terus hidup dalam makanan yang dimakan dan membiak dengan banyak hingga membawa jangkitan. Kuman dalam makanan yang tercemar mengeluarkan toksin atau racun yang membahayakan kesihatan.


Jenis-jenis kuman:


Bakteria Salmonella dan Campylobacter - membawa keracunan dikenali sebagai Salmonellosis dan Campylobacter enteritis. Bakteria-bakteria ini membawa jangkitan di bahagian perut serta usus dan ditemui dalam susu yang tidak dipasteur, air minuman yang tercemar, daging lembu, ayam serta telur.


Staphylococcus - membawa gejala Staphylococcus aureus. Bakteria ini biasanya hidup di permukaan kulit, kerongkong dan hidung manusia. Ia berpindah pada makanan ketika dimasak atau disediakan dengan keadaan tangan berkudis atau tidak dicuci dengan sempurna selepas keluar dari tandas. Bakteria ini mengeluarkan toksin enterotoksin yang mengakibatkan keracunan makanan.


Clostridium botulinum – boleh ditemui di mana-mana, termasuk dalam air dan tanah, serta tidak mudah mati walaupun terdedah pada suhu tinggi. Bakteria ini mengeluarkan toksin neurotoksin yang memudaratkan kesihatan.


E-coli – membawa gejala E- coli enteritis. Bakteria ini membiak dalam air yang tercemar atau tidak disuling dengan sempurna, atau dalam makanan yang disediakan dalam keadaan yang kotor. Ia mengeluarkan toksin endotoksin yang menyebabkan cirit-birit, muntah dan sakit perut yang boleh membawa maut, terutamanya di kalangan bayi dan kanak-kanak.

2. Akibat alahan.



Cendawan beracun, kulat dan juga bahan kimia dengan tanda-tanda yang sama, seperti muntah, cirit-birit, adakalanya berdarah, sakit perut, sakit kepala serta lenguh dan lemah di bahagian tangan, kaki dan otot-otot. Bagi kes-kes yang serius, mulut, lidah, bibir dan muka terasa kebas dan bernafasan terhenti, terutamanya akibat cendawan beracun atau alanan pada cengkerang.


Keracunan makanan akibat alahan biasanya melibatkan makanan atau minuman tertentu seperti siput dan cengkerang, buah strawberi, ikan, susu lembu yang mempunyai kandungan laktosa yang tinggi dan sebagainya.


Keracunan akibat cendawan beracun boleh mengundang pelbagai komplikasi yang akhirnya membawa maut. Sebab itu, elakkan makan cendawan yang dipetik di hutan jika tidak kenal mana satu yang beracun dan mana satu yang selamat.


Kulat yang terdapat pada makanan yang disimpan pada suhu bilik bagi tempoh yang terlalu lama seperti roti dan kek juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Begitu juga dengan keracunan bahan kimia, contohnya daripada kuali dan periuk yang digunakan untuk memasak dan juga ubat.


Tanda-tanda keracunan makanan boleh dialami seawal-awalnya beberapa minit sahaja selepas makan, terutamanya yang berpunca daripada bahan kimia hingga selewat-lewatnya 72 jam.


Tempoh pengeraman, ia itu dari saat makanan dimakan hinggalah ke saat pesakit mula muntah, penting bagi mengenal pasti punca keracunan yang dialami.


Salmonellosis biasanya berlaku antara 12-48 jam selepas makan, E.coli enteritis antara 24 – 72 jam dan Clostridium botolinium 18 – 36 jam.


Serius atau tidak keadaan pesakit bergantung kepada faktor ketahanan badan, usia dan tahap kesihatan


Apa perlu dilakukan?


1. Segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan apabila mengalami tanda-tanda awal seperti muntah dan cirit-birit.


2. Minum air secukupnya untuk menggantikan cecair yang hilang dalam tubuh badan.


3. Makan makanan lembut yang mudah dihadam.


4. Ambil ubat yang dibekalkan doktor untuk merehatkan perut.


Langkah pencegahan:


1. Utamakan kebersihan dan keselamatan makanan ketika menyimpan, menyediakan dan menghidang makanan di rumah.


2. Pastikan makanan berkeadaan bersih, dimasak sempurna dan cukup lama untuk membunuh kuman, terutamanya daging, telur, siput dan cengkerang.


3. Bersihkan tangan dengan air dan sabun setiap kali selepas keluar dari tandas sebelum menyentuh makanan.

sumber:sajionline




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Credit

Shane bday

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Qeisha Bday

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

anniversary

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers